GENG2 SETIA

Dah Boleh Cashout Tapi Tamau

Wednesday, December 26, 2018

Bulan Disember 2018

     Hampir mengakhiri tahun 2018. Dah lama blog ini terbiar sepi. Aku tak dapat nak janji untuk terus menulis entri. Hanya dapat mencuba saja. Teringat masa lalu di mana membaca blog beberapa rakan dan kemudian sebelum melelapkan mata, mencoret sesuatu yang menarik di blog sendiri. Esoknya dengan penuh teruja menunggu makluman dari email jika ada komen baru di entri berkenaan. 

     Dengan pesatnya perkembangan Facebook, semakin hari semakin sepi dan sunyi blogku. Aku pun dah tak larat nak bersengkang mata lagi untuk menaip entri.

     Pagi ini terasa rajin pula. Aku senantiasa berharap akan lebih rajin pada waktu mendatang. Insyaallah.

     Sisa-sisa 2018 harus dipupuk dengan rasa rajin mengetik papan kekunci laptop untuk berkongsi sesuatu di blog. Tapi, memang aku tak rasa aku mampu pun. Sementelah sesi persekolahan 2019 bakal bermula dan 26/12/2018 adalah taklimat pertama untuk sesi 2019 membawa ke 29/12/2018.

     Yes, akhirnya ada sesuatu ditaip di sini. Mari tidur!

Artikel dalam Majalah Mingguan Wanita. Tahun bila ada kat atas muka surat. Sebagai penghias entri saja. 

Friday, August 31, 2018

Bersemangat bersama 'Perajurit Tanah Air'

     Bismillahirrohmanirrohim. Sekali lagi aku merasa kekok tapi rasa itu perlu dibuang jauh. "Bertahanlah kerana sebelum ini pun kau dah menghadapi yang lebih teruk." Boleh dikatakan awal tahun sehingga sekarang, banyak mender terjadi. Alhamdulillah, walaupun rasa takut menghadapinya tapi berserah bulat-bulat kepada AR RAHMAN dan hati dan jiwa tenang semula.

     Tidak dinafikan, kejadian di Lahad Datu banyak mempengaruhi perasaan, jiwa dan pemikiran aku. Diri menjadi lebih peka dan berminat kepada isu itu bila berita ke udara. Jiwa dan emosi lebih tersentuh setiap kali  berita dan cerita itu ke udara. Kelmarin; ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, terdengar lagu 'Perajurit Tanah Air'. Mula-mula aku ikut menyanyi dengan rasa bangga dan bersemangat sehingga meremang bulu roma. Sampai ke bahagian korus, tak semena-mena air mataku laju bercucuran sehingga aku terpaksa memberhentikan nyanyian. Sebak dan pedih menyerbu ke dada. Terbayang wajah2 Arwah ASP Zulkifli Mamat, Arwah Sarjan Sabaruddin, Arwah SUPT. Ibrahim Lebar, Mendiang ASP Micheal, Arwah Sarjan Baharin, Arwah Sarjan Aziz, Arwah Kpl Salam dan Arwah L/kpl Azrul. 8 orang perwira negara yang gugur di bumi bertuah. Terbayang juga wajah orang-orang tersayang yang mereka tinggalkan. Sebak lagi melihat sedutan rancangan khas ketibaan jenazah semuanya di tempat masing-masing.

Aku cuba untuk mengawal emosi dan tertanya-tanya sendiri kenapa aku jadi begitu sensitif dan tersentuh dengan situasi ini. Bila ku fikir-fikir, manakan tidak. Aku sendiri berasal dari bumi Tok Janggut atau Haji Mohd. Hassan bin Munas. Kat Wikipedia pun ada biodata arwah. Marilah kita sedekahkan al-fatihah kepada salah seorang pejuang bangsa ini. Dan, semasa di maktab dulu, aku menyertai Askar Wataniah dalam Kor Ubat. Sepanjang penglibatan aku dalam aktiviti2 yang telah dianjurkan, banyak pengalaman berharga yang ku kutip. Antaranya menembak menggunakan M-16 di Padang Sasar Kem Terendak, Melaka dan menyertai aktiviti Baling Grenade (bom tangan) di tempat yang sama. Yang kuingat, pada masa itu M-16 sedang 'dilupus' dari kegunaan dan diganti dengan Styre buatan Austria kalau tak silap. Selain itu, pernah menyertai Perbarisan Hari Kebangsaan di Kuantan antara tahun 97-99; aku lupa.  Masa menembak tu aku mendapat skor tertinggi dalam kalangan 'perajurit' wanita atau pranita. vahhh gitu! Unsangkerable. Jadi aku simpulkan pengalaman itulah yang mempengaruhi emosi, tindakan serta pemikiran aku sekarang. It makes me who I am now.