GENG2 SETIA

Dah Boleh Cashout Tapi Tamau

Tuesday, November 25, 2008

'Panas'

Cuaca hari ini terik. Kepanasan menyerbu di mana-mana. Ramai manusia mencari tempat teduh untuk berlindung. Ya, bukan sahaja bila hari hujan manusia perlu berlindung. Apabila panas juga manusia akan berlari ke mana sahaja asalkan mereka tidak disimbah cahaya matahari. Kepanasan itu tidak tertanggung oleh sesiapa bahkan apapun benda hidup. Hatta, jika pokok boleh berlari, sudah tentu segala tempat teduh tidak lagi dapat disinggahi manusia. Kebanyakan manusia yang lalu lalang di kaki lima itu disimbahi peluh. Yang lelaki menyapu peluh dengan sapu tangan. Kaum wanita pula tidak lekang dengan kertas tisu atau kertas pedap minyak. Ramai juga manusia tidak kira lelaki atau wanita, tua atau muda, kaya atau miskin, kecil dan juga besar berjalan di bawah payung yang berwarna-warni dan bermacam-macam saiz. Semuanya kerana mahu berlindung dari panas.

Razali duduk termenung di bangku tempat letak teksi. Dia seakan menjadi saksi keperitan manusia di sekelilingnya. Keperitan menahan cuaca yang maha panas. Tempat itu pula terletak betul-betul di seberang jalan sebuah hotel lima bintang. Seperti biasa, waktu makan tengah hari, hotel itu sentiasa dipenuhi dengan pekerja-pekerja kerajaan dan swasta yang ingin menikmati masakan kampung yang cukup terkenal di bandar itu. Sesekali Razali menoleh pada teksinya takut-takut ada penumpang yang inginkan perkhidmatan. Seketika, dia hampa tetapi masih tidak berputus harap. Razali kembali memerhatikan gelagat manusia yang keluar masuk dari hotel itu. Panas? Manusia yang baru keluar dari hotel itu semestinya tidak merasakan kepanasan di luar tadi kerana pendingin hawa dalam hotel tersebut menyejukkan mereka. Sekejap lagi mereka juga akan merasa apa yang dirasa oleh manusia di luar ini. Razali juga tidak terkecuali merasa bahang kepanasan itu. Baju putih yang dipakainya disimbahi peluh. Dia mengipas badannya dengan surat khabar harian yang dibelinya pagi tadi.

“Bang, pergi Mutiara boleh?”, suara seorang wanita mengejutkan Razali dari lamunan. “ Errr…boleh, boleh. Berapa orang?”

“ Seorang jer,” wanita itu menjawab.

Razali terkocoh-kocoh bangun dan melangkah ke teksinya. Dia sebenarnya hamper terlena dek kerana kepanasan. Bila panas, mulalah matanya terasa berat. Tambahan lagi, sudah lama dia menunggu penumpang di situ. Nasibnya baik, tatkala waktu makan tengah hari habis, ada pula penumpang. Memang rezekinya. Wanita itu menuruti langkah Razali dan mengambil tempat duduk belakang. Wanita itu masih muda. Dalam agakannya, dalam lingkungan 20-an. Dari mana dia muncul, Razali tidak pasti. Dia pun tidak mengambil pusing akan hal itu. Yang penting, wanita itu sudah berada dalam teksinya sekarang, menjadi penumpang.

Selepas beberapa minit perjalanan, wanita itu bersuara memulakan perbualan. Dari situasi semasa, cuaca dan keadaan trafik semuanya menjadi intipati perbualan antara wanita itu dengan Razali. Bagus juga, fikir Razali. Dapat menghilangkan mengantuknya yang masih bersisa.

“ Sekarang ni barang semua naik. Puncanya harga minyak naik. Jadi semua barang pun nak naik. Barang yang tak ada kena-mengena pun sama naik juga. Depa ni tak patut betul”, wanita itu merungut.

“ Dah situasi sekarang macam tu, dik. Nak buat macam mana. Nak tak nak, kena laa kita ni berjimat. Cakap pasal berjimat, pemandu teksi macam kami ni terasa tempias juga dek kerana orang nak berjimat,” berkobar-kobar Razali memberi pendapat.

“ Eh, macam mana boleh berlaku tu? Apa kaitannya pula ya?” soal wanita itu kehairanan. Mukanya berkerut-kerut. Buruk pula Razali melihatnya.

“ Yer lah. Orang nak berjimat. Yang ada kereta simpan jer kereta kat rumah. Pakai kereta bila terdesak jer. Bila nak pergi kerja, mereka naik pengangkutan awam. Pengangkutan awam banyak, lrt, monorel, komuter dan bas. Teksi? Tak masuk senarai. Itu yang saya cakap pemandu teksi rasa tempias pasal semua orang nak jimat ni.” Razali meluahkan apa yang terbuku di hati. Wanita itu terdiam. Dia menyambung,” Betul juga cakap abang tuh. Yerlaa, semua barang keperluan dan perkhidmatan naik mendadak. Gaji jer yang tak naik-naik kan? Apa kita nak buat? Sabar dan teruskan berjimat ajer lah.”

“ Betul tuh. Macam saya kerja macam ni, kena laa pandai uruskan duit yang saya dapat.” Razali meneruskan bicara. Jalan raya nampaknya belum sesak dan ini memberi peluang Razali lebih fokus berbincang isu-isu semasa dengan wanita itu. Nampaknya suasana dalam teksi seperti dewan rakyat.

“Uruskan macam mana? Kan abang kerja sendiri kan? Teksi ni masih sewa?”, bertalu-talu soalan dari wanita itu seperti bertih goreng. Razali menunggu masa sahaja untuk menerangkan banyak perkara yang orang lain mungkin tidak mengetahuinya.

“Macam ni, duit yang saya dapat hari-hari kena lah diuruskan dengan bijak, kalau tak, akhir bulan tak ada laa simpanan saya. Hari-hari kena jaga-jaga. Belanja kena berhemah. Contohnya, teksi ni masih sewa beli. Bulan-bulan tetap kena bayar macam orang beli kereta juga. Minyak oklah pasal tak mahal macam petrol. Permit, kalau dah mati kena renew balik. Pendek kata, banyak juga lah yang nk kena bayar bulanan untuk teksi ni saja,” Razali menerangkan dengan panjang lebar. Wanita itu pula mengiakan saja.

“Oh, sekarang baru saya tahu. Betul lah apa yang abang cakap tuh. Duit ni kalau tak ditadbir dengan betul, payahlah. Kena ada disiplin juga. Dah dapat duit kena tepikan untuk bayar hutang dan belanja tetap. Lebih pulak boleh laa nak simpan. Macam abang dah ada keluarga mesti susah kan? Nak tanggung anak bini lagi.”

Tiba-tiba Razali terasa sebak. Perkataan ‘anak bini’ itu sudah lama tidak wujud dalam kamus hidupnya. Sudah lama ungkapan itu tidak keluar dari bibirnya. Ya, ‘anak bini’. Bukan dia tidak pernah berkahwin. Namun, kenyataan hidup yang perit itu terpaksa ditelan oleh Razali.

“Anak bini? Erm… saya ni sebenarnya… isteri saya sudah lama meninggal…”, suara Razali tenggelam timbul menahan hiba.

“Oh, macam tu ke? Maafkan saya… habis tu, anak?” suara wanita itu sedikit kendur. Simpati bersarang dalam dirinya.

Soalan itu menambahkan lagi beban perasaan Razali. Sepanjang perkahwinannya dengan isteri tercinta, rezeki mereka bukan dikurniakan Allah melalui cahaya mata. “Anak angkat ada la, dik”, Razali menyambung.

“ Tentu sunyi hidup abang. Saya minta maaf sekali lagi sebab mengungkit kisah hidup abang.”

“ Tak apalah, dik. Ini ketentuan hidup saya. Mahu atau tidak, hidup mesti diteruskan. Dugaan Allah memang berat tetapi saya tidak boleh menyerah kalah. Kena tabah dan berdoa semoga Allah kurniakan ketenangan,” Razali meneruskan bicara hibanya.

“ Adik nak pergi Mutiara kan? Dah sampai tuh. RM 5 yer”, Razali mengubah perbualan.

Razali kembali ke tempat parkir teksi di depan hotel tadi. Jika tadi dia kepanasan dan mengantuk, kini dia merasa sedih pula. Sedih mengenangkan dirinya yang sunyi tanpa keluarga tercinta. Anak angkatnya pula telah kembali pada keluarga kandungnya dan Razali merasakan tidak patut pula dia menghalang niat anak angkatnya itu untuk pulang ke pangkuan keluarga asalnya.

Manusia tidak tahan dengan kepanasan. Sedaya mungkin, mereka akan berusaha menghindari dari berada di bawah terik matahari. Berusaha sebaik mungkin tidak berada di tempat yang tiada pengudaraan. Payung, kipas, tempat teduh, alat penyaman udara dan segala macam alat dicipta dan digunakan secara meluas untuk memberi keselesaan kepada manusia dari menghadapi kepanasan. Tetapi, mampukah manusia bertahan jika hidup sepi, seorang diri tanpa ditemani orang yang tersayang mengharungi hidup yang serba ‘panas’ ini?


(cemana? enjoy the story? ada bakat tak gua? ehehe..)

No comments: